1. Di antara perkara yang biasa dibahaskan oleh mereka yang perihatin dengan sunah-sunah Nabi (saw) adalah mengenai mengusap / menyapu muka setelah selesai berdoa Adakah ia sunah Nabi (saw) atau sebaliknya? Bagi membincangkan perkara seumpama ini, sikap keterbukaan dan berlapang dada amat penting. Perlu diingat, perkara seumpama ini bukanlah perkara rukun, fardhu atau wajib dalam Islam. Ia termasuk perkara furu’ (cabang) yang sering menjadi perselisihan para ahli ilmu. Bagi mereka yang berminat dengan bahasan ilmiah seperti ini, ia tentunya menjadi medan untuk mempertajamkan ilmu dan minda. 2. Salah satu hadis berkaitan perkara ini adalah dari Umar al-Khattab (ra) berkata mafhumnya; Apabila Nabi (saw) mengangkatkan tangan ketika berdoa, baginda tidak akan meletakkan tangannya sehingga disapu/diusap ke mukanya. (HR Tirmizi) Sekurang-kurang terdapat tiga hadis mengenai menyapu muka selepas berdoa termasuk hadis di atas. Hadis-hadis ini dikeluarkan oleh Abu Daud, Tirmizi danBaihaqi. Ia juga dikeluarkan dalam Mishkat al-Masabih. Ini bermakna hadis-hadis seperti ini mendapat perhatian, nilaian dan pertimbangan dari kalangan ulama hadis. 3. Sebahagian ulama mengatakan hadis-hadis ini adalah hadis gharib dan sebahagian yang lain mengatakannya sanadnya dhaif. Ibn Taimiyah, Izz Abd Salam dan beberapa ulama hadis lain termasuk al-Albani telah mendhaifkan hadis-hadis ini. Alasan kedhaifannnya adalah kerana terdapat perawi yang majhul (tidak dikenali). 4. Imam an-Nawawi dalam kitab al-Adhzkar menyebut terdapat 3 pandangan dalam mazhab as-Shafi’i mengenai mengangkat tangan dan menyapu muka semasa berdoa. Ulama Hanafi, menganggap menyapu muka adalah sunnah ataumandub (digalakkan). Hal ini disebut dalam kitab fiqh muktabar mereka iaitu Durr-Muhktar, Radd-Mukhtar, Shurubulaliyya dan Fatawa al-Hindiya. 5. Menurut kaedah dalam mazhab Hanafi, mereka lebih mengutamakan hadis dhaif berbanding akal (pendapat) manusia melainkan hadis dhaif itu bertentangan dengan hadis yang lebih kuat sanadnya, maka pada ketika itu hadis yang lebih kuat diutamakan. Ulama Hanafi beranggapan bahawa hadis dhaif tetap hadis dan yang dipertikai adalah sanadnya sahaja. Golongan yang menolak hadis dhaif sebagai hujah adalah golongan yang lebih mengutamakan akal (pendapat) manusia berbanding hadis dhaif. Ini adalah salah satu di antara sebab banyaknya perselisihan dalam mengeluarkan hukum-hakam. 6. Bagi yang beranggapan menyapu muka selepas selesai berdoa adalahsunnah/mandub, mereka tidak bergantung kepada hadis-hadis di atas semata-mata. Terdapat beberapa riwayat lain yang menyokong hujah mereka. 7. Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Adab al-Mufrad dengan sanad yang baik menurut Sheikh Abd Fattah Abu Ghuddah dalam Thalath Rasail, Ibn Umar (Radiallhu ‘anh) berdoa bersama yang lain-lain. Daripada Wahab, "Aku melihat Ibn Umar dan Ibn al-Zubair berdoa (bersama-sama) dan menyapu muka dengan tangan mereka.”Peristiwa ini berlaku ketika kewafatan Saidina Husain bin Ali semasa pemerintahan Yazid Ibn Muawiyah. 8. Dalam Musannaf Ibn Abd Razzaq, dari Yahya Ibn Said al-Ansari iaitu qadhi Madinah, bahawa Ibn Umar biasanya berdoa bersama al-Qass dan mereka menyebut bahawa mereka (para tabi’in) yang datang sebelum kami (para Sahabat) akan berdoa dan kemudian menyapu muka supaya mendapatkan keberkatan doa. Al-Qass adalah tabi’i Ubayd Ibn Qatada al-Laythi al-Makki. Sheikh Abu Ghuddah berkata, "Ini adalah bukti yang jelas mengenai amalan menyapu muka dengan kedua tangan selepas mengangkatnya dalam berdoa dan ia merupakan amalan generasi awal.”
9. Kesimpulannya, isu menyapu muka selepas berdoa’ adalah isu yang dipertikaikan (kontroversial). Seseorang muslim bebas memilih pendapat yang sesuai dengannya.